Kampung Serikin, terletak di sempadan Malaysia-Indonesia kira-kira 65km dari sini, adalah destinasi pelancongan popular, hasil aktiviti perniagaan rentas sempadan yang berkembang pesat di sini.
Pada hujung minggu, ramai pengunjung menghala ke Serikin, yang boleh dikunjungi dalam masa 90 minit melalui jalan darat dari sini melalui Bau, bekas bandar perlombongan emas, dan beberapa desa Bidayuh dengan landskap batu kapur di sana sini, termasuk Gua Pari-pari serta Gua Angin.
Selain merancakkan ekonomi setempat, bazar Serikin juga menjadi tempat bagi peniaga Indonesia, sebahagian besarnya dari Kalimantan Barat yang tertarik dengan kadar pertukaran mata wang asing yang menggalakkan, untuk datang mencari nafkah dengan menjual pelbagai produk pada harga berpatutan.
Tinjauan Bernama mendapati peniaga warga Indonesia ini hanya perlu mempunyai pas sempadan, dan pada masa sama ia merupakan laluan masuk percuma kepada mana-mana pengunjung, sungguhpun anggota imigresen dan polis Malaysia ditempatkan di situ.
Seorang peniaga warga Indonesia, Loli, 32, dari Jagoi Babang di Kalimantan Barat, lazimnya mengambil masa 15 minit dengan bermotosikal untuk sampai ke Serikin untuk menjual barangannya seperti beg dan bakul rotan berharga RM35 sebiji.
“Di sini, saya rasa seperti berada di tempat sendiri. Kita berkongsi asal usul, budaya dan tradisi yang sama,” katanya ketika ditemui di pasar Serikin, yang turut menawarkan beraneka barangan eksotik daripada ubat-ubat tradisional, afrodisiak, cincin dihiasi batu permata dan barang perhiasan.
Berjalan sepanjang kedai yang menghiasi pasar Serikin memang tidak mengecewakan. Terdapat produk yang memenuhi keperluan semua citarasa dan keperluan seperti gambir Sarawak, dipercayai afrodisiak yang kuat, atau minyak bengkarong, dipercayai penawar bagi jerawat dan kerengsaan kulit.
Bagi peminat fesyen, fabrik dalam bentuk batik Sarawak dan Indonesia serta busana tradisional pribumi Sarawak banyak dijual di sini selain alat muzik, barangan kulit, peralatan memasak, perabot dan tikar rotan, permaidani, produk rimba selain sotong kering, ikan bilis dan ikan masin yang dijual siap dibungkus.
Seorang pelajar kolej tempatan, Angeline Cath, 19, berkata dia kagum dengan kedatangan pengunjung yang begitu ramai, terutamanya dari Semenanjung Malaysia, ke Serikin berbanding beberapa tahun lepas.
“Rasa seperti berada di dua negara yang berlainan,” katanya, dan berharap agar pihak berkuasa dapat menaik taraf kemudahan yang disediakan di situ bersempena kempen ‘Tahun Melawat Sarawak’.– BERNAMA
BACA : Homestay Di Kuching